Memang tidak terfikir saya masih
berpeluang belajar di menara gading, bersyukurlah saya kerana Kementerian
Pendidikan sudi menyediakan peluang ini kepada guru yang masih belum mempunyai
ijazah pertama. Sebelum ini, saya hanya tahu menggunakan komputer untuk
menyediakan kertas soalan peperiksaan dan memasukkan markah atau maklumat murid
sahaja. Sangatlah malu kerana pengetahuan saya terhadap ICT hanyalah setakat itu sahaja.
Semester ini saya terpaksa merakam
video untuk proses pengajaran dan pembelajaran saya, copy rakaman tersebut
dalam CD, “upload” ke Youtube dan membina satu persembahan dengan menggunakan
Microsoft PowerPoint serta membina blog P&P. Semua ini merupakan satu
percubaan yang baru untuk saya. Bersyukurlah kini dua tugasan telah berjaya dihantar, sekarang barulah saya mempunyai
masa untuk belajar membina blog kerana sekolah telah mula bercuti.
Didapati bukan senang untuk membina
satu blog, juga susah untuk meminta bantuan kerana tidak ramai orang yang
mengenalinya. Tutor E-learning saya, Encik Sulaiman memang pakar dalam bidang
ini, saya telah belajar serba sedikit semasa mengikuti kelas tutorial beliau. Bersyukurlah saya dapat menghasilkan
blog ini atas bantuan daripada banyak pihak. Di sini saya ingin mengucapkan
ribuan terima kasih kepada rakan-rakan yang telah menyampaikan ilmu ini kepada
saya.
 |
"Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.”
|
Saya amat pasti, setiap orang yang membesar di bumi Malaysia, pasti
pernah belajar dan hafal pantun ini, pantun yang paling asas diajar dan
dipelajari oleh anak-anak di setiap rumah. Mesejnya jelas: untuk
belajar, harus bersedia untuk menerima teguran dan tunjuk ajar. Lumrah
orang belajar, pasti akan melakukan kesalahan demi kesalahan, sebelum
menghampiri kesempurnaan. Bagaimana untuk menghampiri kesempurnaan,
adalah dengan rela menerima tunjuk ajar daripada yang berilmu. Proses
tunjuk ajar ini akan berlaku secara berulang-ulang kali dan memakan masa
yang bukan sedikit. Sesungguhnya, itulah hakikat dalam pembelajaran.
Salah
satu unsur penting untuk mempelajari sesuatu, adalah keperluan untuk
bertindak. Kaedah untuk belajar sambil bertindak merupakan kaedah klasik
yang diperturunkan sejak turun-temurun. Kaedah ini memerlukan jiwa yang
kental, keikhlasan dan keinginan yang tinggi untuk menghasilkan
perubahan terhadap diri. Dalam era globalisasi sekarang, generasi muda
mestilah celik ICT supaya berdaya saing. Sebagai guru kepada generasi
muda sekarang, saya mestilah tidak boleh ketinggalan. Diharap blog ini
akan mendapat komen yang membina daripada semua pihak, dengan ini
barulah dapat saya memaju ke hadapan.
Sekian, terima kasih.